Struktur kod ISO 4217

Dua huruf pertama kod ISO 4217 ialah huruf kod negara alfa-2 ISO 3166-1 (yang juga digunakan sebagai asas untuk domain peringkat atasan negara di dalam Internet), dengan huruf ketiga biasanya merupakan parap mata wang sendiri. Misalnya, kod mata wang Jepun ialah JPY, dengan JP merupakan Jepun dan Y untuk yen. Ini mengelakkan masalah yang diakibatkan oleh nama-nama mata wang yang sama seperti dolar, franc dan paun yang digunakan oleh banyak negara, dengan setiapnya mempunyai nilai yang amat berbeza. Selain itu, jika sesuatu mata wang dinilai semula, huruf terakhir kod mata wang akan ditukar untuk membezakannya daripada mata wang yang lama. Dalam sesetengah kes, huruf ketiga ialah parap untuk "baharu" dalam bahasa negara itu bagi membezakannya daripada mata wang lama yang dinilai semula. Kod itu kekadang tahan lebih lama daripada penggunaan istilah "baharu" pada dirinya dalam bahasa negara itu, misalnya kod peso Mexico ialah MXN. Bagaimanapun, perubahan lain juga ditemui. Misalnya, ruble Rusia bertukar daripada RUR kepada RUB, dengan B datangnya daripada huruf ketiga perkataan "ruble".

Terdapat juga nombor kod tiga-angka yang diperuntukkan kepada setiap mata wang dengan cara yang sama dengan nombor kod tiga-angka yang diperuntukkan kepada setiap negara sebagai sebahagian ISO 3166. Kod angka itu biasanya sama dengan kod angka ISO 3166, misalnya USD (Dolar AS) mempunyai kod 840 yang juga merupakan kod angka untuk Amerika Syarikat (US: United States).

Terdapat juga kod khas yang diperuntukkan untuk tujuan pengujian (XTS) serta untuk menunjukkan ketiadaan urus niaga mata wang (XXX). Semua kod ini bermula dengan huruf "X". Logam-logam berharga menggunakan "X" serta simbol kimia logam, misalnya perak ialah XAG. ISO 3166 tidak pernah memperuntukkan kod negara yang bermula dengan "X", dengan kod ini hanya diperuntukkan untuk kegunaan terlanggan persendirian sahaja (disimpan tetapi bukan untuk kod rasmi). Oleh itu, ISO 4217 boleh menggunakan kod-kod "X" untuk mata-wang tak tertentu negara tanpa menghadapi sebarang risiko percanggahan dengan kod-kod negara masa depan. Mata wang supranasional seperti dolar Caribbean Timur, franc CFP, franc CFA BEAC, dan franc CFA BCEAO biasanya juga menggunakan kod-kod yang bermula dengan "X". Euro menggunakan kod EUR (EU termasuk senarai kod simpanan ISO 3166-1 untuk bermaksud Kesatuan Eropah). European Currency Unit, mata wang yang digunakan sebelum euro, menggunakan kod XEU.